PAS tetap akan meneruskan hasrat mengemukakan saman terhadap Sarawak Report yang didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap parti berkenaan.

Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yakob menjelaskan, pendirian PAS seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini untuk menyaman Sarawak Report akan diteruskan.

“Mengikut keputusan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PAS, akan buat samanlah. Biasalah, saya pun pernah saman Watan sebab buat liputan tak betul. PAS akan saman,” kata Ahmad.

Ahmad diminta mengulas mengenai pendirian PAS berhubung tindakan ke atas Sarawak Report yang dikatakan mengeluarkan kenyataan memfitnah.

Sarawak Report minggu lalu, menerbitkan artikel yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merayu PAS agar menjauhi gabungan pembangkang dengan sebanyak RM90 juta dialirkan kepada pemimpin tertinggi parti itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Sarawak Report yang berpengkalan di London dikendalikan oleh Claire Rewcastle-Brown, yang didakwa Perdana Menteri adalah sebahagian daripada konspirator untuk menggulingkan beliau daripada kuasa.

Susulan itu PAS mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap laman web Sarawak Report kerana dakwaan berkenaan.

Tuan Ibrahim pula berkata, PAS menegaskan berita tersebut adalah palsu dan berniat jahat, selain agenda untuk terus mengaitkannya dengan UMNO.

Ahmad ditemui pemberita selepas menghadiri majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji di Kompleks Islam Jubli Perak, Panji, di sini malam tadi.