Tutup

PAS nasihat pendeposit TH tidak keluarkan wang

PAS nasihat pendeposit TH tidak keluarkan wang
PAS menasihatkan pendeposit Tabung Haji (TH) agar tidak mengeluarkan wang deposit mereka berikutan kemelut TH dan 1MDB.
KUALA LUMPUR: PAS menasihatkan pendeposit Tabung Haji (TH) agar tidak mengeluarkan wang deposit mereka berikutan kemelut yang melibatkan institusi kewangan itu dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Penerangannya Datuk Mahfuz Omar berkata tindakan mengeluarkan wang deposit daripada TH akan meruntuhkan institusi kewangan umat Islam yang kuat dan utuh yang dipelihara selama ini.
Bercakap pada sidang media mengenai gerakan 'Selamatkan Tabung Haji' yang ditubuhkan di bawah parti itu, Mahfuz berkata pendeposit perlu mengelak daripada mengambil tindakan negatif yang tidak menguntungkan diri serta institusi kewangan itu.

Bagaimanapun, Mahfuz yang juga pengerusi bagi gerakan itu berkata, sebuah Suruhanjaya Bebas perlu ditubuhkan bagi merombak semula sistem pentadbiran TH bagi mengembalikan kredibiliti institusi berkenaan.
TH berdepan kontroversi berikutan pembelian tanah seluas 0.66 hektar bernilai RM188.5 juta di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur, yang didakwa bertujuan untuk menyelamat syarikat pelaburan strategik kerajaan, 1MDB.

Berikutan desakan pelbagai pihak, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada Sabtu lepas mengumumkan keputusan TH untuk  menjual semula tanah berkenaan.