Pas menyerahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan masa terbaik bagi merombak Kabinet.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Dr Mahathir lebih arif tentang tahap prestasi setiap anggota Kabinetnya sejak Pakatan Harapan mentadbir negara.

“Itu terpulang kepada Perdana Menteri, dia lebih tahu dan berpengalaman. Sudah setahun lebih dia melihat sendiri anggota Kabinet dia.

“Dan dia lama jadi Perdana Menteri, dia sudah saksikan mana Kabinet, anggota Kabinet yang mampu menjalankan tugas, yang tidak mampu menjalankan tugas, yang kuat, yang lemah semua dia tahu. Terpulang kepada beliaulah menentukan siapa,” ujar Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, Marang pada Jumaat.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata Pas tidak mempunyai sebarang senarai menteri yang perlu digugurkan dan menyerahkan urusan itu kepada kewibawaan Perdana Menteri.

Sementara itu, ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyarankan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng digugurkan, Abdul Hadi berkata pandangan tersebut dibuat berdasarkan situasi semasa.

“Itu masalah yang dilihat pada zahir sekarang.. masalah peruntukan kewangan yang tidak saksama, beberapa perkara yang dilihat tidak betul, itu yang terbuka. Mungkin Perdana Menteri lebih tahu lah dan akan melihat,” ujar beliau.

Menurut Abdul Hadi, apa yang disuarakan Tuan Ibrahim adalah satu pendedahan ke arah penambahbaikan dalam pentadbiran kerajaan.