Tutup

Pas tidak tuntut jadi ketua kerjasama bersama UMNO - Abdul Hadi

Pas tidak tuntut jadi ketua kerjasama bersama UMNO - Abdul Hadi
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbual dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan di Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di Kuantan, Pahang pada Jumaat. - Gambar BERNAMA
KUANTAN: Pas tidak akan menuntut untuk menjadi ketua pada jalinan hubungan ‘taawun’ bersama UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, gabungan politik yang dikenali sebagai kepimpinan Islam itu bersifat fleksibel termasuk dalam memilih ‘nakhoda’ gabungan tersebut.

Malah, menurut Hadi, sesiapa sahaja boleh dipilih menjadi ketua gabungan walaupun daripada pihak ketiga asal ia adalah kepiminan Islam.

“Kita sebut secara umum, kepemimpinan Islam bukan mesti daripada UMNO mungkin boleh jadi PAS, boleh jadi pihak ketiga jadi ketua.
"Boleh diterima oleh semua, boleh berlaku begitu politik. Politik ni fleksibel kita kena faham. Kita tak menuntut melainkan bila orang memaksa dan perlu kita di hadapan," kata Abdul Hadi dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-65, di Stadium Tertutup SUKPA di kuantan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan perwakilan Kedah, Nasrun Othman di Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas ke-65 yang mahu Pas menjadi ketua dan berada di atas dalam kerjasama Pas dan UMNO.
Ditanya mengenai masih ada ahli yang berhati-hati untuk menerima kerjasama dua parti itu, Abdul Hadi menasihatkan mereka mengetepikan perasaan tersebut demi kepentingan ummah.

"Berhati-hati itu biasa dan kita kena sedar dalam Pas ada yang UMNO fobia. UMNO ada yang PAS fobia. Itu kerana ketegangan di masa lalu yang boleh diselesaikan.

"Apa lagi kita yang beragama Islam ini, ada moral kita. Mesti mengutamakan damai dahulu, mengutamakan kepentingan ummah dahulu daripada perasaan. Perasaan ini mesti disingkirkan untuk mengatasi prinsip bersama, konsep bersama kepentingan politik bersama," kata Abdul Hadi lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut berkata, kerjasama UMNO-PAS kini lebih mudah dicapai memandangkan tiada lagi ahli yang tidak bersetuju berada dalam parti.

Malah, katanya, semua halangan yang timbul melibatkan dua parti itu di peringkat awal telah pun diselesaikan.

BACA: Rombongan pemimpin kanan UMNO hadiri Muktamar Pas


Tag: Pas tidak tuntut jadi ketua, UMNO, Pas, Abdul Hadi Awang



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.