Berang dengan tindakan saman terhadap mereka kerana tidak mempamerkan kupon meletakkan kereta, seorang lelaki dan wanita bertindak luar kawalan semalam.

Dalam insiden itu, pasangan itu dipercayai cuba menghalang seorang penjawat awam wanita menjalankan tugas.

Video mempamerkan insiden tersebut telah mula viral sejak semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitternya mengesahkan penahanan itu.
Kedua-duanya ditahan dibawah Akta S187 Kanun Keseksaan kerana menganggu penjawat awam menjalankan tugas

Selepas ditahan, kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Polis Daerah Sungai Buloh mengesahkan menerima laporan daripada seorang pengadu berusia 23 tahun yang telah dihalang daripada menjalankan tugasnya di kawasan Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh pada Khamis.

Berdasarkan keterangan mangsa, Nurul Ain Isa, pasangan terbabit berang dengan tindakannya mengeluarkan saman terhadap mereka kerana tidak mempamerkan kupon meletak kereta.

Mangsa telah menjelaskan bahawa saman yang telah dikeluarkan tidak boleh dibatalkan.

Penjelasan itu membuatkan pasangan itu bertambah berang dan bertindak menghalang dan merakam gambarnya dengan tujuan menghalang mangsa menjalankan tugas.