Sepasang suami isteri yang dituduh melakukan penganiayaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun pada 5 Okt tahun lepas, mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Unaizah Mohd menetapkan 12 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan pihak pembelaan menghantar representasi dan laporan perubatan kepada pihak mahkamah.

Tertuduh Mohd Farid Fikri Mohamad, 32, dan isterinya Fatimah Muhammad Zain, 37, sebelum itu didakwa atas dua pertuduhan menganiaya mangsa berusia 10 tahun dengan cara merantainya di bahagian leher pada sebuah tong gas dan membiarkan mangsa tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan serta pemeliharaan yang berpatutan.

Pertuduhan pertama didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa di bawah Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding sebelum ini, mahkamah telah menetapkan hari ini sebagai tarikh untuk penyerahan dokumen dan laporan perubatan.

Bagaimanapun, tertuduh menerusi peguamnya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin meminta agar tempoh itu dilanjutkan berikutan anak sulung mereka yang baru sahaja meninggal dunia akibat banjir pada Khamis lepas.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hassim.

Turut kelihatan berada di kamar mahkamah ialah mangsa, ayah kandung dan neneknya.

-- BERNAMA