Dua warga Indonesia yang melarikan diri selepas didapati positif COVID-19 pada Khamis berjaya dikesan lewat malam tadi dan telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak di sini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata pasangan suami isteri itu ditemui di sebuah kawasan perumahan baharu di tepi Jalan Matang Baru kira-kira jam 11.15 malam.

"Kedua-dua mereka telah dibawa oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan) ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan dan rawatan susulan," katanya dalam satu mesej WhatsApp kepada media pada Jumaat.

Semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menyatakan kedua-dua warga asing berkenaan melarikan diri selepas menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai syarat untuk memohon permit kerja.

Kehilangan mereka disedari pasukan KKM yang menjalankan tindakan susulan untuk mengesan kontak rapat dan mengenal pasti punca jangkitan. -BERNAMA