Sepasang kekasih yang mendalangi sindiket pengedaran dadah di sekitar Pulau Pinang diberkas polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Permatang Sintok, di sini, pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek lelaki berusia 38 tahun dan wanita berusia 26 tahun itu ditahan bersama sejumlah dadah bernilai RM212,580.

Menurutnya, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak kira-kira enam bulan lalu iaitu selepas suspek lelaki dibebaskan daripada penjara.

"Kedua-dua suspek, seorang berusia 26 tahun dengan empat rekod jenayah dadah, seorang lagi 38 tahun dengan empat kes di bawah Seksyen 12(2), baru bebas Januari lepas," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, antara dadah yang dirampas adalah 1,351.2 gram (g) disyaki syabu dan 660 biji pil disyaki yaba yang dipercayai bagi diedarkan di kawasan SPU.

Selain itu, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z yang disyaki dibeli dengan hasil kegiatan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, pihaknya turut menahan seorang pengedar dadah berusia 36 tahun di tempat letak kereta Flat Taman Desa Sena, di sini, pada Khamis lalu.

Katanya, suspek yang aktif dalam kegiatan berkenaan sejak setahun lalu ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 82g bernilai kira-kira RM12,300.

Suspek yang telah berkahwin itu mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan turut positif ujian saringan air kencing.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut.

Kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.