Sepasang suami isteri parah selepas ditikam dengan pisau pemotong sayur oleh anak angkat mereka di Taman Suria di sini pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu Lim Ah Ba, 60, ditikam pada belakang manakala isterinya Teh Sooi Looi, 60, ditikam pada perut.

Seorang saksi berkata dia bersama anggota keluarganya melihat kedua-dua pasangan terbabit berlari keluar dari rumah mereka dengan keadaan berlumuran darah.

Beliau kemudiannya menghubungi polis dan ambulans.

Seorang jiran mangsa, Tan Kim Aik, 55, berkata anak angkat pasangan itu sebelum ini sering bertengkar dengan ibu bapa angkatnya.

"Pada pukul 10 malam Jumaat, anak pasangan itu telah bergaduh dengan ibu bapa angkatnya yang mengunci rumah bagi menghalang anak angkatnya itu memasuki rumah," katanya.

Suspek merupakan bapa tunggal kepada seorang anak lelaki berusia enam tahun yang turut dijaga ibu bapa angkatnya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Abd Rahim Abdullah berkata kedua-dua mangsa dirawat di hospital sementara suspek telah ditahan.