Tutup

Pasangan suami isteri kesempitan hidup berharap dapat bantuan JKM dan zakat

Pasangan suami isteri kesempitan hidup berharap dapat bantuan JKM dan zakat
Nasib keluarga ini mendapat perhatian Pengerusi SCB Rukiza Abu Bakar (kiri) yang tampil menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan makanan kepada mereka. - BERNAMA
ALOR SETAR: Pasangan suami isteri dari Bukit Pinang dekat sini yang menghadapi kesempitan hidup berharap Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat mempertimbangkan bantuan bersesuaian untuk persekolahan anak-anaknya bagi meringankan bebanan menyediakan keperluan keluarga mereka.

Siti Zabedah Abdullah, 42, dan Indra Sany Marzuki, 47, bersama anak mereka itu kini menumpang berteduh di rumah kedai milik kenalan mereka yang membenarkan keluarga itu tinggal secara percuma di situ.
Siti Zabedah ketika ditemui Bernama pada Sabtu berkata kehidupan mereka semakin terhimpit dengan masalah kewangan selepas suaminya mengalami strok sebelah badan kanan pada Julai lepas sekali gus kini sudah tidak berupaya untuk bekerja di bengkel membaiki kereta.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata beliau kini sedang dalam proses untuk memohon bantuan daripada agensi berkenaan dan bantuan itu amat diperlukan terutamanya untuk keperluan anak-anaknya.
"Kami (Siti Zabedah dan suami) pernah juga ikat perut, yang penting bagi anak-anak makan dulu, sebab kasihan dekat depa (mereka), lagi pula depa masih bersekolah.

"Saya pun dah biasa rasa hidup susah, saya tak kisah tak makan ini. Suami saya sekarang dah boleh berjalan dan bercakap, tetapi tangan kanannya masih tak berapa kuat, dan tak boleh buat kerja berat.

"Kami juga pernah makan nasi bersama telur goreng dan kicap sahaja, buat mee segera saja, makan, pun pernah sebab tak cukup duit untuk beli lauk," katanya yang mempunyai anak berumur dari dua hingga 17 tahun itu dengan anak sulungnya itu bersekolah di sebuah sekolah vokasional di Sungai Petani.

Dia berkata pada masa ini pendapatan bulanannya hanya antara RM400 hingga RM500 hasil membantu kenalannya itu berniaga santan di rumah kedai berkenaan selain menjual roti bakar secara kecil-kecilan sebagai tambahan pendapatan.

"Kenalan kami yang dipanggil Haji ini bagi kami tumpang sini, dan kami bantu dia jual santan, dan Haji ini berikan upah bantu dia jual santan ini.

"Dengan pendapatan sebanyak ini, memang sangat tidak mencukupi apabila lima anak masih bersekolah, ditambah perlu menyediakan keperluan sekolah mereka serta keperluan harian lain," katanya.

Sementara itu, nasib keluarga itu mendapat perhatian Pengerusi Sahabat Charity Balqish (SCB) Rukiza Abu Bakar yang tampil menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan makanan kepada mereka.

-- BERNAMA