Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang kembali beroperasi bermula hari ini selepas selesai menjalani proses sanitasi dan kerja pembersihan selama empat hari di kawasan beerkenaan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihak berkuasa akan memantau operasi pasar borong tersebut supaya peniaga mematuhi peraturan dan prosedur yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja di kawasan itu.

Selain itu, katanya, penjual, pekerja dan pemandu lori dikehendaki menggunakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang sesuai seperti penutup mulut dan hidung dan sarung tangan serta lori membawa bekalan dibenarkan masuk mengikut jadual yang ditetapkan.

"Mereka mesti kena ikut peraturan, jika didapati gagal, kami akan tutup semula operasi Pasar Borong," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan 100,000 penutup hidung dan mulut daripada kerajaan China yang diserahkan oleh Duta Besar China di Malaysia, Bai Tian, di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 1, di sini.

Sumbangan tersebut adalah untuk Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKNWPKL) untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan dan golongan memerlukan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

BACA: PKPD ke-6: Kerajaan umum kawasan libatkan Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong KL

BACA: Polis, ATM ditempatkan di Pasar Borong Selayang - Ismail Sabri

BACA: Pematuhan garis panduan di Pasar Borong Kuala Lumpur tidak memuaskan - Annuar

Annuar berkata pekerja Pasar Borong yang tinggal di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar pusat bandar utara di Selayang tidak boleh kembali bekerja dan perlu tinggal dalam kediaman masing-masing.

"Semua penduduk di kawasan itu dikehendaki menjalani saringan COVID-19 dan perlu dikuarantinkan selama 14 hari, baru boleh keluar selepas PKPD," katanya.

-- BERNAMA