Semua operasi pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam serta bazaria di seluruh negara dibenarkan dibuka semula bermula 15 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) berkemungkinan berbeza antara setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Apabila saya mengumumkan pasar malam, pasar pagi serta bazaria boleh beroperasi mulai 15 Jun, maknanya ia bukan sahaja di Wilayah Persekutuan sebaliknya untuk seluruh negara.

"Cuma semalam Wilayah Persekutuan membentangkan SOP dan kita bersetuju untuk menerima SOP itu selain tarikh yang dipohon 15 Jun ini," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Ahad.

Ismail Sabri berkata kebenaran tersebut bagaimanapun tertakluk kepada SOP yang ditetapkan kerajaan selepas perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

SOP ini katanya, termasuk waktu pembukaan yang dihadkan bagi pasar pagi dan pasar terbuka antara pukul 6 hingga 11 pagi, pasar malam (4 petang- 10 malam) dan bazaria (5 petang -11 malam).

Selain itu, jarak sosial kedudukan gerai ditetapkan pada 1.5 hingga dua meter dan lokasi kawasan penganjuran perlu terbuka dan berpagar bagi mengawal laluan keluar masuk sehala.