Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Pasar Satok kembali meriah, peniaga dan pengunjung patuh SOP

Pasar Satok kembali meriah, peniaga dan pengunjung patuh SOP
Dr Wan Junaidi berkata peniaga juga meletakkan harga barangan kawalan yang ditetapkan selain tiada kenaikan mendadak.
KUCHING: Pasar Satok di Kuching sentiasa menjadi tumpuan penduduk tempatan.

Bukan itu sahaja, pasar yang sarat dengan pelbagai jenis keperluan serta produk tempatan Sarawak juga antara lokasi wajib kunjung bagi pelancong dalam dan luar negara.

Namun suasana ketika ini berubah sejurus penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Kini pengunjung mula kembali ke pasar yang popular di Bandaraya Kuching itu untuk mendapatkan barangan keperluan harian sebaik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan pada 12 Mei lepas.


Menerusi perkongsian oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, suasana di sana ketika ini terkawal dengan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan sepanjang penularan COVID-19 ini.
Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Dr Wan Junaidi berkata peniaga juga meletakkan harga barangan kawalan yang ditetapkan selain tiada kenaikan mendadak.

“Daripada tinjauan yang saya lakukan, tidak berlaku kenaikan harga terutama ikan dan daging.

“Ikan terubuk masin juga diberi diskaun sehingga 25 peratus tetapi bekalan ikan, ketam, udang berkurangan daripada biasa,” ujarnya.



Tambahnya ketika ini Pasar Satok diselia dengan baik oleh anggota RELA dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan mereka juga mengamalkan langkah pencegahan dan keselamatan dengan baik.

“Mereka memeriksa suhu badan setiap pengunjung dan memastikan pengunjung mencatat nama bagi tujuan pengesanan malah saya juga diminta beratur kira-kira 15 minit.

“Saya juga memuji sikap orang ramai yang patuh kepada SOP yang digariskan ini, mereka mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan sosial,” kata Ahli Parlimen Santubong itu lagi.

Harapannya agar kemeriahan Pasar Satok akan kembali dirasai selepas ini sekali gus membolehkan warga tempatan memasarkan produk mereka juga bagi menjana pendapatan.