Kerajaan mahu lebih banyak pasaraya, peruncitan dan perhotelan di seluruh negara dapat menyertai program Bank Makanan Malaysia untuk membantu golongan yang memerlukan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata program itu akan dilaksanakan melalui dua fasa iaitu fasa pertama melalui pelaksanaan projek perintis yang dimulakan pada Ogos sehingga Disember 2018.

"Manakala fasa kedua iaitu pelaksanaan lebih menyeluruh di seluruh negara yang dijangka bermula pada bulan Januari tahun hadapan," katanya ketika berucap melancarkan Projek Perintis Program Bank Makanan Malaysia peringkat Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dr Wan Azizah berkata objektif program itu bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan berbentuk makanan dan juga untuk mengatasi pembaziran makanan yang masih elok dan boleh digunakan.

"Kerajaan amat mengutamakan usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat terutama sekali golongan kurang berkemampuan yang berada pada paras garis kemiskinan.

"Golongan ini perlu diberikan bantuan bagi mendapatkan akses bekalan makanan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan dan menjimatkan wang perbelanjaan mereka ke atas pembelian makanan dan wang tersebut boleh digunakan untuk kegunaan lain yang lebih penting," katanya.

Dr Wan Azizah berkata golongan sasar bagi program itu adalah penerima terdiri daripada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM930 sebulan.

"Berdasarkan maklumat yang diterima melalui eKasih terdapat seramai 186,394 ketua isi rumah yang berada dalam paras kemiskinan di seluruh negara," katanya.

-- BERNAMA