Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menilai tahap kebersihan dan kemudahan infrastruktur ke atas lebih 70 kawasan penjajaan dan pasar-pasar terbuka di sekitar ibu kota sebelum dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata mana-mana kawasan penjajaan dan pasar terbuka yang didapati kotor dan fasiliti rosak akan diberi masa selama dua minggu untuk kerja-kerja pembersihan dan pembaikan.

"Kalau boleh DBKL keluarkan bajet untuk meletakkan lapisan baharu jalan-jalan berlopak dan rosak, bersihkan longkang-longkang tersumbat, betulkan dulu mana-mana yang perlu di sekitar kawasan penjajaan itu.

"Selain itu, susun gerak, susun atur kerusi meja perlu ada jarak sosial supaya kawasan itu tidak bersesak-sesak apabila ramai pengunjung, serta gerai-gerai, payung dan kerusi meja mestilah bersih dan elok sesuai dengan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita tidak mahu kawasan-kawasan tertentu terkenal dengan pasarnya yang kotor, susun atur gerai-gerai yang begitu berselerak sehinggakan pelancong yang datang tengok macam mana warga kota menjual dalam keadaan kotor," katanya dalam siaran langsung Facebook pada Rabu.

Sumber Facebook AnnuarMusa

Annuar berkata DBKL juga akan menempatkan lima hingga 10 pegawai di semua pasar-pasar awam dan kawasan penjajaan bagi memastikan pematuhan SOP berjalan dengan lancar.

"Kita tidak boleh membuka secara percuma kepada pengunjung, kalau tidak cukup pekerja ataupun tiada lesen di pasar-pasar tertentu, jabatan pelesenan akan uruskan untuk bagi penguatkuasaan, gabungkan jawatankuasa tempatan untuk sokong kekurangan pekerja dan berusaha mendapatkan lesen penjaja di sana.

"Hal ini kerana saya nak pasar itu ada orang yang menguruskannya sepanjang ia beraktiviti, jadi dalam hubungan ini, konsep kita diharapkan dapat menggalakkan orang kita berniaga, kami nak mudahkan sesiapa yang nak mulakan perniagaan tetapi tiada lesen boleh mohon lesen supaya semua orang dapat menambah pendapatan untuk menampung keluarga masing-masing," katanya.

Sementara itu, Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan berkata pihaknya dan DBKL telah menyediakan SOP bagi pengoperasian semula gerai-gerai dan pasar-pasar terbuka untuk dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Insya-Allah hari Sabtu nanti kita akan membentangkan cadangan bagaimana penjaja-penjaja yang masih belum dibenarkan berniaga, termasuk pasar harian boleh mula berniaga.

"Tetapi tidak bermakna kita akan buka percuma kepada semua, balik kepada cara lama, itu tidak boleh, kita akan ikhtiarkan garis panduan tertentu, antara lain mengubah wajah ibu kota menjadi bersih, terutamanya pasar-pasar harian dan gerai-gerai dapat beroperasi dalam suasana bersih dan selamat," katanya.

-- BERNAMA