Polis menubuhkan pasukan khas bagi memburu suspek kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, yang tercetus awal pagi Isnin lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pasukan khas dari Bukit Aman itu akan membantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam usaha mengesan suspek yang telah turut mencederakan dua penjawat awam dalam insiden berkenaan.

"Kita sudah tubuhkan task force. Kita pun dah hantar pasukan daripada Bukit Aman untuk membantu Selangor bagi mengesan mereka yang terlibat, termasuk yang menyerang anggota bomba dan anggota kita, yang cedera, retak dan sebagainya.

"Task force ini sedang melancarkan operasi pada ketika ini," katanya pada satu sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini. Terdahulu, Mohamad Fuzi melancarkan buku Buku Pembuktian dan Pendakwaan serta Buku Panduan Siasatan Jenayah melibatkan Agen Kimia, Biologikal, Radiogikal, Nuklear dan Letupan (CBRNE).

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, setakat ini, tangkapan ke atas individu berhubung insiden terbabit masih kekal 21 orang.

"Kita masih terlalu awal. Cuma, kita minta reman. Mungkin hari ini sambung reman. Jadi, kita perlukan masa untuk tentukan siasatan di bawah peruntukan mana dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, keadaan semalam terkawal walaupun ada sekumpulan individu antara 50 dan 100 orang yang telah cuba mencetuskan kekecohan.

"Pihak polis memerlukan maklumat daripada orang ramai. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang membuat rakaman video atau sebagainya," tambahnya.

Jelasnya lagi, polis boleh memproses rakaman video dan sekali gus dapat membantu pasukan khas mengesan suspek.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor sebagai berkata, sebanyak 23 kenderaan musnah dibakar setakat ini, dalam insiden berhubung rusuhan itu.

Mazlan berkata, polis turut menyiasat kejadian cermin pusat beli-belah yang dipecah dan dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.