Siasatan pihak polis akan menjurus kepada mengenalpasti kemungkinan berlaku kecuaian atau sebaliknya dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek jalan berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong yang meragut nyawa sembilan pekerja warga asing Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Zainol Samah berkata, siasatan terperinci dari pelbagai aspek akan dijalankan selepas pihak polis menubuhkan satu pasukan siasatan khas yang diketuai oleh beliau sendiri berhubung kes itu.

Katanya, sehingga kini, pihak polis telah mengambil keterangan daripada 18 individu terdiri daripada keluarga mangsa, pemaju dan pakar berkaitan bagi membantu siasatan.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan dan sehingga hari ini seramai 18 individu termasuk keluarga mangsa, pakar-pakar berkaitan dan kontraktor projek telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.

"Lebih ramai lagi yang akan dipanggil untuk direkodkan keterangan dan polis akan cuba melengkapkan kertas siasatan kejadian itu secepat mungkin sebelum diserah kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.


Zainol berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa agensi yang turut terlibat dalam siasatan berkenaan antaranya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ( JKKP) dan Lembaga Pembangunan Industri dan Pembinaan Malaysia ( CIDB).

Dalam kejadian Jumaat lepas,sembilan pekerja binaan warga asing meninggal dunia selepas tertimbus runtuhan tanah yang menimpa kontena yang menempatkan pekerja di tapak projek terbabit.

Mereka tediri daripada tiga lelaki Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar, manakala empat yang cedera terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia, seorang daripadanya mengandung empat bulan, dan seorang wanita Kemboja.