Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menangkap dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam insiden serang dan bunuh di sebuah stesen minyak di Johor Bahru, Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata mangsa yang maut dalam kes itu mempunyai rekod jenayah lampau dan sudah dikenal pasti.

"Tapi tidak payahlah saya komen (tentang kes jenayah lampau) orang yang sudah meninggal," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kes itu selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) ke-25 di sini, hari ini.

Beliau berkata polis melihat insiden itu sebagai perkara yang serius dan boleh menjejaskan imej negara kalau tidak ditangani dengan sebaik mungkin.

Noor Rashid berkata antara maklumat yang diterima mengenai kes tersebut ialah mereka berkaitan terlibat dalam kegiatan memberi pinjaman wang dan ada kemungkinan berlaku perebutan kawasan.

Pada Ahad, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mati ditikam dan dilanggar dengan sebuah kereta yang dinaiki sekumpulan empat lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, di Johor Bahru.

Kejadian berlaku kira-kira 7.30 malam ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta di stesen tersebut.

-- BERNAMA