Tutup

Pasukan peguam Najib bawa projektor ke mahkamah

Pasukan peguam Najib bawa projektor ke mahkamah
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta saksi ke-42, bekas pengarah bukan eksekutif SRC mengesahkan beberapa dokumen. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sesi petang hari ke-30 perbicaraan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi bersambung dengan pasukan peguam bekas perdana menteri itu membawa projektor untuk menyoal balas saksi ke-42, bekas Pengarah Bukan Eksekutif SRC, Datuk Suboh Md Yassin.

Peguam Utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta bekas pengarah bukan eksekutif SRC itu mengesahkan beberapa dokumen yang mengandungi kenyataan asal yang dibuat Suboh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Muhammad Shafee meminta Suboh memberitahu mahkamah tarikh mesyuaratnya dengan SPRM bersama dengan berapa lama setiap sesi dan pegawai yang mengambil kenyataannya.

Suboh mengesahkan bahawa beliau telah bertemu dengan SPRM sebanyak enam kali (pada November 2015, tiga kali pada Mei 2018 dan dua kali pada Ogos 2018) dengan pegawai SPRM Raub Ghani dan Syed Muhammad Tarmizi Musa.
Sebelum mahkamah berhenti rehat, Suboh diminta menurunkan sampel tandatangannya pada dua keping kertas selepas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Muhammad Shafee yang membangkitkan tentang variasi tandatangan saksi ke-42 itu pada beberapa dokumen yang ditandatanganinya selaku pengarah SRC International dan anak syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Terdahulu, Suboh dalam keterangannya kepada Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff memberitahu bahawa beliau hanya mengikut arahan daripada (bekas) ketua pegawai eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil ketika menadatanginya pada 5 Februari 2015.

Suboh memberitahu mahkamah bahawa Nik Faisal menandatangani surat itu terlebih dahulu sebelum diberi kepadanya.

Ishak: Kamu adalah pengarah bagi SRC International dan Gandingan Mentari. Boleh kamu jelaskan mengapa kamu menandatangani dokumen ini?

Suboh: Saya diminta oleh Nik Faisal untuk menandatanganinya.

Ishak: Jadi kamu hanya ikut?

Suboh: Ya Saya ikut.

Dalam keterangan sesi pagi, Suboh memberitahu mahkamah bahawa beliau dihubungi oleh Nik Faisal dari Shanghai China, pada tahun 2015.

Suboh menjelaskan, beliau mengetahui panggilan itu dari Shanghai berdasarkan apa yang dilihat menerusi telefon pintar miliknya.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa Nik Faisal menghubunginya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.



Tag: Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah, SPRM, SRC International, mahkamah



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.