Pasukan peninjau kedutaan besar Malaysia di Beijing selamat tiba di Wuhan kira-kira jam 3.30 pagi tadi, selepas melalui perjalanan darat selama hampir 13 jam.

Kehadiran mereka adalah untuk membantu menyelaras proses membawa pulang 120 rakyat Malaysia di wilayah Hubei, susulan wabak koronavirus.

Duta besarnya, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin ketika dihubungi memaklumkan buat masa ini mereka belum boleh memberi apa-apa kemaskini kerana waktu masih awal pagi dan mereka masih belum berkesempatan membuat tinjauan menyeluruh tentang keadaan rakyat Malaysia di sana.

[LAPOR LANGSUNG] Koronavirus ragut lebih 300 nyawa

Pasukan yang terdiri daripada enam pegawai kedutaan itu ditugaskan untuk mengumpul dan mengemas kini senarai rakyat Malaysia yang berada di wilayah itu.

Pasukan itu juga akan berurusan dengan pihak berkuasa tempatan bagi melancarkan proses penghantaran pulang.

Mereka yang terlibat dijangka balik dengan penerbangan komersial dalam tempoh terdekat.

Nushirwan turut memaklumkan butiran mengenai tarikh penerbangan pulang itu akan diumumkan kerajaan malaysia setelah persetujuan dengan kerajaan China dicapai.