Orang awam perlu mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) selain pemimpin komuniti dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan yang dikeluarkan mereka adalah demi menjaga kesihatan dan keselamatan masyarakat.

“Saya harap orang ramai tidak abaikan nasihat Rela... mereka tak takut dan ingkar nasihat Rela. Saya harap tak berlaku seperti itu kerana apa yang Rela, APM dan pemimpin komuniti lakukan adalah untuk menjaga kesihatan (dan keselamatan) masyarakat.

“Anggaplah apa dilakukan Rela, APM dan lain-lain untuk kepentingan mereka. Tidak semestinya polis, tapi semua (jabatan dan agensi) yang jaga kebajikan kita, perlulah kita patuhi, perlulah rakyat patuhi,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan berkaitan aduan sesetengah pihak bahawa segelintir orang awam tidak mematuhi arahan Rela dan APM, sebaliknya hanya patuh kepada polis.

Dalam sidang media sama, Ismail Sabri menyatakan sehingga kini, tiada kes positif COVID-19 dikesan melibatkan pelajar antarabangsa di universiti tempatan.

Menurutnya, sekiranya terdapat kes melibatkan pelajar di sesebuah universiti, petugas kesihatan akan memastikan mereka segera diasingkan.

“Kalau ada kes yang melibatkan mereka di universiti tersebut, kita akan asingkan mereka untuk rawatan. Tapi setakat ini, tiada lagi kes melibatkan pelajar antarabangsa di universiti.

“Kalau ada, kita akan ambil tindakan pertama dengan keluarkan mereka dan kalau terlampau ramai pelajar antarabangsa tiba-tiba positif, mungkin kita akan buat saringan di dalam universiti itu," katanya.