Rakyat Sabah diseru untuk mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai hari ini sehingga 31 Mac 2020.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ini adalah bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 dari terus menular.

"Saya harap sungguh pematuhan ini akan dapat kita kuat kuasakan dan minta pihak-pihak kurangkan pergerakan. Polis sudah dimaklumkan dan mereka faham bagaimana pengawalan ini akan dapat kita bendung sebaik mungkin.

"Contoh di kawasan Lahad Datu, ramai yang positif. Jawatankuasa pengangkutan juga diminta ambil tindakan kerana di daerah itu pun banyak perkhidmatan logistik haram (kereta sapu). Situasi ini mungkin memberi kesan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas bersempena Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu, pada Rabu.

Terdahulu, Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 21 kes positif COVID-19 terbaru pada Rabu dengan menjadikan jumlah keseluruhan 103 kes.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie dalam pada itu berkata, rakyat di negeri ini harus mengambil pendekatan berjaga-jaga dan terus berada di rumah sepanjang tempoh pelaksanaan perintah tersebut.

"Sebab itu kita mahu pastikan keadaan yang kita alami ini sangat berbeza dan serius. Kita mahu pastikan rakyat faham mengenai perintah kawalan ini," katanya.