Dalam kesibukan membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitiri, orang ramai terus disarankan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menyedari masih terdapat segelintir masyarakat yang didapati tidak acuh dan secara terang-terangan melanggar SOP yang telah ditetapkan di pusat beli-belah dan kedai runcit.

“Ramai dalam kalangan netizen telah menularkan imej dan video masyarakat yang tidak patuh kepada SOP. Ketidakpatuhan ini sememangnya membimbangkan.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membangunkan satu SOP Peruncitan yang bertindak sebagai garis panduan bagi semua pengusaha, peniaga dan pemilik perniagaan yang telah dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata SOP tersebut adalah;

1. Memastikan penjarakan sosial (social distancing) diamalkan sepanjang masa.

2. Mengehadkan laluan keluar masuk ke premis dan kemasukan pelanggan ke dalam premis pada satu-satu masa bergantung kepada saiz premis untuk mengelakkan kesesakan.

3. Memastikan semua staf, pembekal dan pelanggan melalui proses saringan suhu badan sebelum masuk ke premis,

4. Menyediakan hand sanitizer di pintu masuk.

5. Mewajibkan pemakaian alat penutup hidung dan mulut (face mask) oleh pekerja ketika berurusan.

6. Menjalankan proses nyah kuman dan pembersihan premis sepanjang tempoh operasi.

Selain itu, beliau berkata KKM juga menyeru kepada orang ramai supaya mengelakkan daripada aktiviti membeli-belah di tempat-tempat yang sesak dan sempit, dimana penjarakan sosial sukar diamalkan.

“Ibu bapa serta penjaga juga digesa untuk mengelak membawa kanak-kanak atau bayi ke pusat beli-belah serta tempat awam yang sesak bagi melindungi mereka daripada risiko jangkitan COVID-19.

“Harus diingati bahawa walaupun jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah semakin menurun, namun masih terdapat bahaya jangkitan COVID-19 di kalangan masyarakat. Oleh itu, kita mesti menjaga diri kita, keluarga kita dan juga komuniti kita daripada jangkitan COVID-19,” ujarnya.