Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bercadang melaksanakan melaksanakan operasi pembenihan awan siri kedua pada Jun ini bagi memastikan keselamatan bekalan air sepanjang 2020 dan 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Jaseni Maidinsa berkata daripada 10 operasi pembenihan awan yang diluluskan kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Kedah serta Sungai Muda bermula 25 April lepas, enam operasi telah dijalankan dan berjaya mencetuskan lebih banyak hujan di dua empangan utama negeri iaitu Air Itam dan Teluk Bahang.

"Dalam tempoh 25 April hingga 21 Mei, sebanyak 253 ml hujan direkodkan di Empangan Air Itam sementara 801 mm hujan direkodkan di Empangan Teluk Bahang. Kapasiti efektif Empangan Air Itam telah meningkat sebanyak 11.6 peratus. Bagaimanapun, kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang hanya meningkat sebanyak satu peratus.

"Empat lagi operasi pembenihan awan dijadualkan pada akhir Mei dan awal Jun 2020. PBAPP akan memohon persetujuan daripada kerajaan Pulau Pinang untuk memulakan siri kedua operasi pembenihan awan pada bulan depan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata rasional untuk siri kedua operasi pembenihan awan dijalankan pada Jun ialah peluang memaksimumkan hujan di kawasan tadahan air Pulau Pinang berikutan ramalan ribut petir dan hujan di negeri itu.

"Keadaan itu memungkinkan kehadiran awan hujan, namun jumlah taburan hujan tidak dapat diramalkan. Jadi, adalah wajar untuk melaksanakan pembenihan awan untuk memaksimumkan hujan ketika keadaan adalah baik manakala menjelang Julai, awan hujan mungkin berkurangan sedikit," jelasnya.

Jaseni berkata bekalan air berterusan adalah perkhidmatan awam penting yang menyokong kesejahteraan rakyat Pulau Pinang dan pertumbuhan semua sektor sosioekonomi terutamanya dalam memerangi pandemik COVID-19.

"Bagi memastikan negeri ini dapat mengekalkan status 'negeri hijau', PBAPP harus terus membekalkan air yang mencukupi untuk 1.78 juta penduduk Pulau Pinang untuk kekal bersih, sihat dan selamat. Selain itu, bekalan air yang berterusan juga diperlukan untuk memudahkan pemulihan ekonomi Pulau Pinang secara beransur-ansur dan sihat," tambahnya.

-- BERNAMA