Parti Bersatu Sabah (PBS) mempertahankan tindakan mereka menaikkan papan iklan yang didakwa berunsur 'mengaibkan' parti DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai mempersoal mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak menurunkan papan iklan yang memuatkan petikan laporan berita dari sebuah stesen televisyen.

Papan iklan tersebut memaparkan wajah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng beserta kapsyen yang menyatakan beliau tidak akan mengetengahkan isu kekurangan parkir di Hospital Sandakan sekiranya calon DAP, Vivian Wong tewas pada PRK tersebut.

Jika diterjemahkan, katanya papan iklan itu hanya bermaksud: "Kekurangan ruang parkir di Hospital Sandakan; Lim: Jika kita menang, cari saya. Jika kalah, tiada apa yang saya boleh buat."

"Kandungan pada papan iklan berkenaan hanyalah 'screen shot' (tangkap layar) daripada sebuah laporan berita televisyen di mana kapsyen pada papan iklan tersebut hanyalah kenyataan Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP yang mempunyai calon pada PRK ini.

"Kenyataan itu amat mudah. Ia berkait pengurangan parkir kenderaan di Hospital Sandakan. Kami telah letak di bawah poster tersebut, hanya lima perkataan berbahasa Cina," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Lima perkataan bahasa Hakka itu membawa maksud 'Alamak! Kena marah lagi?'.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan kurang satu jam dengan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Sandakan, Mohd Hamsan Awang Supain bagi membincangkan berkenaan tindakan SPR menurunkan papan iklan itu hari ini.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai mengadakan pertemuan dengan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Sandakan, Mohd Hamsan Awang Supain bagi membincangkan berkenaan tindakan SPR menurunkan papan iklan mereka. - Gambar Astro AWANI / Harits Asyraf

Menurutnya, hasil pertemuan itu, SPR memaklumkan bahawa arahan untuk menurunkan papak iklan berkenaan dikeluarkan oleh polis atas kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Awal hari ini, SPR bertindak menurunkan papan iklan berkenaan yang terletak di Batu 3, Jalan Utara.