Tutup

PCC tawar khidmat kaunseling hingga ke pintu rumah

PCC tawar khidmat kaunseling hingga ke pintu rumah
Hannah Yeoh (kiri) merasmikan Psychological Care Centre (PCC) Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di PPR Desa Rejang hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Psychological Care Centre (PCC) pertama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yang dibuka sejak Januari lepas di Perumahan Awam Desa Rejang di sini, berjaya membantu lebih 50 klien mendapatkan khidmat kaunseling secara percuma.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata perkhidmatan kaunseling 'hingga ke pintu rumah' itu diharap memudahkan masyarakat setempat dalam mendapatkan kemudahan  berkenaan   dan tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang negatif.
"Ia penting terutama apabila statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Kuala Lumpur (JKM KL) menunjukkan seramai 1,929 klien mendapat bantuan kaunseling dari Januari hingga Julai lalu dan dari jumlah itu, ia turut melibatkan kanak-kanak berusia empat tahun.

"Ia membuktikan perkhidmatan asas ini sangat perlu disediakan memandangkan tahap kesihatan mental kanak-kanak dan remaja di Kuala Lumpur sangat membimbangkan," katanya selepas melancarkan program Komuniti Lestari 2019 dan perasmian PCC Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini hari ini.
Yeoh berkata PCC Perumahan Awam Desa Rejang memberi manfaat kepada lebih 11,000 penduduk di situ, terutama kanak-kanak dan remaja yang sebelum ini tiada tempat untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling.

Pusat kaunseling yang beroperasi lima hari seminggu, bermula 8 pagi hingga 6 petang itu dibantu oleh 50 sukarelawan dari JKM sebagai Pasukan Sokongan Psikologi (PST) yang terdiri daripada kaunselor berdaftar dan psikologis.

Mengulas lanjut, Yeoh menyarankan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bekerjasama dengan sekolah untuk mengadakan program cuti sekolah yang dapat membantu pelajar memanfaat masa dan mengatasi kesunyian mereka.

"Hidup di kawasan bandar, terutama di kawasan perumahan awam, di mana kurangnya aktiviti rekreasi dapat dilakukan menyebabkan kanak-kanak banyak menghabiskan masa dengan gajet dan mempunyai rakan hanya secara talian. Ini menyebabkan mereka sukar untuk bercakap atau meluahkan perasaan mereka dan akhirnya mengalami gejala kemurungan," katanya.

Yeoh berkata Talian Kasih 15999 juga sering menerima panggilan daripada kanak-kanak ketika cuti sekolah yang memaklumkan mereka berasa sunyi kerana ibu bapa sibuk bekerja.

"Sebab itu kita sarankan persatuan penduduk, PIBG dan sekolah melaksanakan program cuti sekolah kerana bukan semua orang boleh pergi bercuti. Bagi ibu bapa pula, jika anak anda mula kurang bermain, muram dan menyendiri, segera dapatkan bantuan kaunseling," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kemudahan PCC yang disediakan di kawasan perumahan awam mampu mengubah stigma dan salah faham mengenai penyakit berkaitan mental.

"Jika ada masalah berkaitan psikiatri, ia bukan kelemahan. Itu adalah penyakit, sama seperti demam. Begitu juga lelaki, yang stigma jika pergi jumpa kaunseling, mereka akan nampak lemah. Jadi, perkara inilah yang perlu diubah," katanya.

- BERNAMA


Tag: Psychological Care Centre PCC, Hannah Yeoh, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Kuala Lumpur JKM KL, Kuala Lumpur, Nik Nazmi, kaunseling, remaja, anak



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.