Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan istiadat pengebumian rasmi jasad tokoh polis yang amat disegani Tan Sri Yuen Yuet Leng di Nilai Memorial Park di Nilai, Negeri Sembilan esok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pengebumian rasmi mendiang Yuen, yang merupakan bekas Ketua Polis Perak dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, akan dijalankan pada pukul 11 pagi.

"PDRM mengucapkan takziah kepada waris dan merasai kehilangan besar mendiang Yuen dalam perkhidmatan PDRM.

"Saya selalu menghubungi beliau secara peribadi ketika dia (Yuen) masih hidup dan sentiasa meminta nasihat khususnya dalam isu keselamatan dan juga keharmonian negara kita," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir di Pusat Xiao En, Jalan Kuari, Cheras, di sini hari ini.

Khalid menyifatkan mendiang Yuen sebagai seorang yang berkeperibadian tinggi serta komited dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

"Saya pasti jasa dan pengorbanan Yuen yang pernah menjawat jawatan Ketua Cawangan Khas (Rajang Security Command di Sibu, Sarawak) akan sentiasa menjadi kenangan di Sarawak," katanya.

Yuen, meninggal dunia semalam akibat sakit jantung, merupakan bekas pegawai cawangan khas yang sering 'diburu' komunis semasa dan selepas zaman darurat. Jawatan terakhir beliau ialah Pesuruhjaya Polis Sarawak mulai 1981 sehingga bersara pada 1984.

Yuen yang berusia 88 tahun, meninggalkan isteri Puan Sri Chan Choy May, 68, dua anak perempuan, Susan Yuen Sumin, 56, dan Marina Chan Chean Gaik, 54, serta dua cucu berusia 20-an.

Mayat mendiang Yuen kini ditempatkan di Pusat Xiao En, Cheras sehingga esok bagi memberi peluang kepada keluarga serta rakan taulan memberikan penghormatan terakhir.