Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd mengadakan pertemuan dengan Presiden Polis Antarabangsa (Interpol), Kim Jong Yang pada hari terakhir Perhimpunan Agung Interpol ke-88 yang berlangsung di Chile pada Jumaat.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, Mohd Khalil turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin kanan Interpol yang baharu dilantik menerajui agensi keselamatan terbesar di dunia itu, menyampaikan ucapan tahniah bagi pihak PDRM.

Antara pemimpin kanan Interpol tersebut ialah Naib Presiden Interpol (Benua Amerika), Hèctor Espinosa dari Chile dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Interpol Asia), Brigedier Jeneral Khaled Al-Matereyeen dari Jordan.

Mohd Khalil turut berpeluang bertemu wakil Interpol dari lain-lain negara luar untuk membincangkan pelbagai isu jenayah melibatkan rakyat tempatan dan asing di dalam serta luar negara.

Antaranya, Koordinator Kebangsaan Interpol Wellington, New Zealand, Mark Chenery dan Leftenan Kolonel Salih Salim Al-Habsi dari Oman.

Persidangan Agung Interpol mengumpulkan pemimpin-pemimpin polis dari seluruh dunia.

PDRM diwakili Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, yang mengetuai delegasi, Mohd Khalil dan Penolong Pengarah Interpol, Dr Mohammad Feroz Kamal.

Mereka turut membuat pembentangan kertas kerja, mengadakan perjumpaan serta mesyuarat bersama tujuh negara, antaranya Bangladesh, Arab Saudi, Amerika Syarikat, Australia, Iran dan Oman.

Dalam pertemuan itu, pelbagai perkara berkaitan dibincangkan, termasuk pembinaan kapasiti, counter terrorism dan hubungan rangkaian.

Dalam pada itu, pada program berkenaan, Interpol Ireland turut mengucapkan terima kasih kepada PDRM di atas bantuan yang diberikan sepanjang mengendalikan kes Nora Anne Quoirin, warga Ireland berusia 15 tahun yang ditemui mati di sebuah resort di Negeri Sembilan Ogos lalu.

Kenyataan itu turut menyebut, Interpol Ireland bercadang untuk berkunjung ke Malaysia dan membuat pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Ia bagi membincangkan mengenai bantuan dan latihan yang boleh diberikan kepada PDRM bagi meningkatkan keupayaan penyiasatan pegawai bagi memerangi jenayah tanpa sempadan.