Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Peguam Negara untuk memohon dan berunding dengan Australia dalam usaha membawa pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar ke negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata proses membawa pulang Sirul Azhar, yang berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati, melibatkan proses perundangan sebelum dia dapat dibawa pulang.

"Kita dah tau Australia ada undang-undang yang mana menghalang mereka untuk bekerjasama dengan Malaysia ... itu kita kena atasi dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan edisi khas kenderaan-kenderaan mainan PDRM oleh syarikat pengeluar peralatan permainan Daisheng (M) Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan status terkini usaha untuk membawa Sirul Azhar pulang ke tanah air.

Menurutnya, beliau tidak dapat menentukan tempoh proses itu yang mungkin akan memakan masa yang lama.

Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri didakwa membunuh membunuh model sambilan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006 dan disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dengan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.

Pada 13 Jan lepas, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

Bagaimanapun, Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu kerana dipercayai berada di Australia.

Susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Pada 16 Jan lepas, media tempatan memetik laporan akhbar Sydney Morning Herald berkenaan kerajaan Australia yang tidak akan memenuhi permohonan Malaysia untuk mendapatkan perintah ekstradisi Sirul Azhar.

Ini berikutan ia melibatkan hukuman mati dan Australia merupakan antara negara yang tidak memperuntukkan hukuman mati dalam undang-undangnya.