PDRM cari rakan subahat pedofil Richard Huckle - KPN

PDRM cari rakan subahat pedofil Richard Huckle - KPN
Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Britain selepas mengaku salah terhadap 71 pertuduhan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kes pedofil warga Britain Richard Huckle kini tertumpu kepada bagaimana untuk mengenal pasti rakan jenayahnya yang lain.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya juga ketika ini sedang bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar bagi mendapatkan bantuan perundangan timbal balik untuk menyoal siasat Huckle.

"Tujuan utama kita (PDRM) untuk menemu bual Huckle lebih kepada mengetahui siapa rakan sejenayahnya berbanding mangsa.

"Rakan sejenayahnya mungkin berada di sini atau di mana-mana sahaja yang mensasarkan kanak-kanak sebagai mangsa," jelasnya dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya PDRM Tahun 2016 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.


Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Britain selepas mengaku salah terhadap 71 pertuduhan penderaan seksual ke atas kanak-kanak di Malaysia.

Dia juga mengaku menyimpan lebih 20,000 imej lucah berkaitan kanak-kanak di dalam komputer dan kameranya ketika dia ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick pada 2014.