Penganjur Bersih 4.0 menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memuktamadkan keputusan berhubung lokasi perhimpunan itu selewat-lewatnya pada Rabu.

Bagaimanapun, menurut penganjurnya, Bersih 2.0, perhimpunan itu akan tetap diadakan walau apa pun keputusannya.

"Kita hanya mahu mendapatkan maklumat daripada polis, dan polis pula akan memberikan maklumat mengenai trafik terlibat," kata pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.

"Jadi, ia akan mengambil sedikit masa, kita harap kita akan selesaikan (lokasi) sehingga esok dan perhimpunan akan tetap berjalan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini.

Beliau berkata, polis juga tidak mencadangkan sebarang lokasi alternatif kepada penganjur Bersih dalam pertemuan itu.

"Tadi dia tiada cadangan, tiada lokasi alternatif," katanya.

Beliau menegaskan, perhimpunan Bersih 4.0 tidak akan memasuki Dataran Merdeka, sebaliknya hanya akan diadakan di kawasan sekitar seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Pada masa sama, katanya, perhimpunan itu tidak akan berlanjutan sehingga 31 Ogos dan akan tamat pada malam 30 Ogos ini.

"Ia akan diadakan berdekatan Dataran Merdeka, kami tahu akan ada persiapan sempena hari kemerdekaan sedang dijalankan tetapi kami tidak akan mengganggu acara itu.

"Kami menghormati hari kemerdekaan tetapi kami mahu melakukan pembaharuan dengan semua tuntutan (Bersih 4.0). Semua tuntutan ini adalah kerana kami mahukan perubahan dalam negara ini," katanya.

Dalam pada itu, Maria Chin mendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tersalah tafsir tentang Bersih 4.0 dan menganggap perhimpunan itu sebagai haram.

"Polis tidak mengatakan Bersih 4.0 adalah haram, sebaliknya mereka mengatakan kami tidak berdaftar, tetapi Bersih 4.0 adalah acara, jadi tidak perlu didaftarkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) salah anggap," katanya.