Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak yang mahu menjadikan Malaysia sebagai pusat atau pangkalan kegiatan pengganas.

Ia termasuk percubaan mengeksploitasikan isu-isu agama, perkauman, hak-hak istimewa dan institusi beraja di negara ini.

Demikian ditegaskan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang berkata pihaknya bertindak tegas tanpa mengira latar belakang terhadap pihak yang terlibat demi keselamatan negara.

“Perkauman dan agama jangan dipermainkan. Jangan exploitasi perkauman. Pihak polis akan bertindak tegas tanpa mengira siapa pun yang terlibat.

“Membangkitkan perkara sedemikian boleh mencetuskan tindak balas untuk melancarkan serangan,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

BACA: Serangan masjid Christchurch: Tiga rakyat Malaysia cedera, seorang masih hilang

BACA: Tragedi solat Jumaat: Rakyat Malaysia antara mangsa tembakan masjid di Christchurch

Terdahulu, Ayob Khan menyampaikan ceramah pada program Perhimpunan Perpaduan Demi Negara anjuran Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy.

Mengulas lanjut berhubung kejadian tembakan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat, beliau menyifatkan kejadian itu antara lain disebabkan oleh isu awal yang tidak ditangani dengan tuntas dan tegas.

“Tidak boleh tunggu sehingga kumpulan berkenaan berkembang atau merekrut anggota. Suspek telah dikesan, warga Australia, tetapi mengapa masuk ke New Zealand dan membuat serangan di negara itu?

“Dalam konteks ini, pihak polis menegaskan akan mengambil tindakan atas elemen-elemen asing. Kita tidak mahu Malaysia dijadikan pengkalan. Di New Zealand, rakyat asing datang ke sana dan buat serangan,” katanya.

TONTON: 'Ini adalah serangan pengganas!' - PM New Zealand

BACA: Tragedi solat Jumaat: Tun Mahathir, pemimpin dunia kutuk tembakan rambang di masjid