Seorang pegawai Jabatan Perhutanan Daerah Jerantut dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima wang bernilai RM340,000 daripada sebuah syarikat pembalakan yang mempunyai hubungan rasmi dengan tugasnya.

Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof membuat keputusan itu selepas Zainal Abidin Maskon, 33, membuat pengakuan berkenaan atas lima pertuduhan pilihan yang pendakwaannya dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suatu benda berharga tanpa suatu balasan iaitu wang tunai RM340,000 daripada Pengurus Syarikat P&K Trading, Yiang Kwai Seng yang diketahuinya mempunyai hubungan dengan kerja rasmi yang membabitkan urusan permohonan lesen pembalakan di Hutan Simpan Tekam serta Tekai dalam Mukim Tembeling, Jerantut milik Yayasan Pahang serta Bakat Bijak Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank di Kuantan pada 1 Julai 2016, 24 Januari 2017 serta 21 Jun lalu.

Habibah dalam penghakimannya berkata, hukuman itu adalah untuk tiga pertuduhan manakala dua pertuduhan lain diambil mahkamah terhadap tiga pengakuan bersalah oleh tertuduh.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh dihukum penjara tiga bulan serta denda RM50,000, sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu tertuduh boleh dihukum penjara lima bulan.

Habibah mengarahkan hukuman penjara dijalankan serentak daripada tarikh suspek ditahan iaitu pada 11 September lalu.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili Hon Kai Ping, Datuk Ng See Teong serta Muhammad Irwan Bidin.

Sementara itu, Mohamad Fadhly berkata, pihaknya akan memohon kepada mahkamah pada prosiding seterusnya untuk melucutkan hak bagi pemilikan wang simpanan dan unit amanah bernilai RM6.09 juta yang terbabit dalam kes itu.