Seorang pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan kuasanya dalam pemberian projek bernilai RM10,000, tahun lepas.

Tertuduh, Hairul Nizan Mhd Idris, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja sebagai pegawai dakwah kontrak gred S41 di Pejabat Agama Islam Hulu Langat didakwa menggunakan jawatannya untuk mengemukakan permohonan dan syor pembekalan barangan oleh syarikat Prisma Jaya Kini Resources berjumlah RM10,000 bagi majlis tilawah Al- Quran peringkat daerah itu.

Syarikat pembekalan makanan dan minuman itu dimiliki oleh abang kandung Hairul Nizan dan kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di pejabat agama Islam berkenaan pada 1 Feb 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamed Heikal Ismail memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000, namun peguam tertuduh, Hamidi Mohd Noh meminta supaya jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000.

Hamidi berkata, tertuduh tidak mampu menjelaskan jumlah jaminan yang terlalu tinggi kerana hanya bergaji RM3,000 sebulan dan menanggung isteri yang bekerja sebagai guru serta tiga anak berumur dua hingga 11 tahun.

Rozilah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 melalui seorang penjamin dan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Selangor setiap hujung bulan.

Tertuduh membayar wang jaminan dan kes akan disebut semula pada 4 Sept depan.

-- BERNAMA