Seorang pegawai dalam latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak pada Sabtu.

TLDM dalam kenyataan media berkata, Pegawai Kadet Graduan (PKG) J. Soosaimanicckam, 27 tahun mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya selepas selesa menjalani latihan fizikal yang merupakan rutin harian pelatih pada pukul 12.20 tengah hari.

Susulan itu, PKG berkenaan telah diberikan bantuan penafasan dan rawatan lanjut oleh doktor yang bertugas sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.45 petang.

PKG itu melapor ke Kapal Diraja (KD) Sultan Idris bagi menjalani latihan kursus kelayakan pegawai graduan pada 12 Mei lepas.

Pihak TLDM telah menubuhkan lembaga siasatan untuk meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada bagi melihat kembali sekiranya terdapat sebarang perlanggaran terhadap prosedur yang ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Manjung, ACP Muhammad Hanif Othman berkata, hasil siasatan forensik mendapati mangsa maut akibat paru-paru berair.

Beliau turut mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah atau serangan fizikal sekali gus mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.