Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada Rabu berbincang bagi mencari kaedah mengenai pendekatan yang sesuai dalam mengumpulkan dan berkongsi maklumat mengenai dasar serta langkah-langkah yang berkaitan dengan COVID-19 termasuk kesan ekonominya.

Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan, Hairil Yahri Yaacob dalam ucapan aluan berkata terdapat lima cadangan yang merangkumi penubuhan platform untuk pertukaran maklumat, pengoperasian kenyataan Menteri Bertanggungjawab Bagi Perdagangan (MRT) dalam hubungan permudahan aliran barangan penting dan senarai semak arahan untuk Jawatankuasa APEC dan kumpulan kerja.

"Dalam tempoh yang menguji ini, kerja-kerja dalam APEC mesti diteruskan sama ada dengan cara mesyuarat maya seperti sekarang atau melalui lain-lain mekanisme antara sesi.

"Tanggungjawab APEC yang lebih luas meliputi perdagangan, pelaburan, mobiliti perniagaan, pelancongan, keselamatan makanan, pembangunan lestari, prosedur kastam, tatacara piawaian dan hak harta intelek akan memainkan peranan penting dalam pemulihan di rantau ini," katanya semasa SOM Luar Biasa Maya yang pertama mengenai COVID-19 pada Rabu.

Mesyuarat maya itu telah dihadiri oleh semua ekonomi APEC, Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) serta pemerhati terpilih daripada organisasi antarabangsa dan serantau.

Beliau berkata pandemik ini telah menjejaskan kira-kira 5 juta orang dan menyebabkan ribuan terkorban sehingga dunia terpaksa membuat sekatan dan penjarakan sosial.

Bagaimanapun, kelembapan ekonomi yang terhasil mampu mendatangkan kemudaratan jangka panjang kepada banyak pihak termasuk jutaan individu yang mencari rezeki.

Awal bulan ini, MRT APEC telah mengeluarkan satu kenyataan bersama mengenai pandemik COVID-19, yang mengakui walaupun usaha menghalang penyebaran virus kekal menjadi keutamaan bagi setiap ekonomi, tumpuan khusus perlu dibuat dalam menangani cabaran ekonomi yang terhasil.

"Menteri-Menteri kami telah memantapkan kepentingan yang paling penting dalam semua peringkat termasuk mengekalkan keterbukaan pasaran. Mereka komited untuk memastikan bahawa aliran barangan dan perkhidmatan penting di seluruh rantau ini terus tidak terganggu.

"Jika rantau ini kekal mengukuhkan semangat kerjasama antara ekonomi, APEC mampu keluar dari krisis dengan lebih baik dan lebih berdaya tahan," tambahnya lagi.

-- BERNAMA