Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Zawary Mahadi, 53, meninggal dunia dalam bilik hotel di Istanbul, Turki pada malam tadi.

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir semasa sedang bercuti di negara tersebut bersama isteri, tiga orang anak dan seorang cucu.

Berita sedih itu disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, yang turut memaklumkan bahawa Allahyarham bercuti ke negara berkenaan dengan mengikut pakej Trip Balkan (jelajah lapan negara), bermula 23 November lalu hingga 5 Disember ini.

Difahamkan pada 3 Disember lalu, Allahyarham dimaklumkan kurang sihat dan tidak mengikuti rombongan untuk melawat bandar Istanbul.

Allahyarham Zawary, sebaliknya, memilih untuk berehat di bilik hotel.

“Apabila keluarga sampai balik di bilik hotel dapati arwah telah meninggal dunia” kata Fadzil dalam kenyataan kepada Astro AWANI.

Bagaimanapun, beliau berkata, punca kematian masih belum dikenal pasti.

Ketika ini, pihak keluarga, ujar beliau, sedang menunggu pengesahan punca kematian daripada pihak hospital dan IPD Shah Alam akan membantu urusan membawa balik jenazah ke Malaysia.