Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan hanya menjalani rawatan rutin di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur hari ini.

Pegawai Khas beliau Zulkifli Awang berkata Mohamad dimasukkan ke IJN atas nasihat doktor di Negeri Sembilan Chinese Meternity Hospital (NSCMH) yang merawatnya sebelum itu memandangkan beliau mempunyai rekod di IJN.

Sehubungan itu, beliau menafikan khabar angin kononnya Mohamad tenat selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rembau seperti yang diviralkan hari ini.

"Menteri besar hanya mengalami sakit biasa dan mendapat rawatan rutin di IJN selepas mengadu tidak selesa badan pada 1.30 tengah hari tadi...beliau merasakan mungkin ada kaitan dengan ubat ulser yang diambilnya.

"Ini menyebabkan ketidakselesaan di perut beliau," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.