Pegawai polis antara ditahan dipercayai terbabit aktiviti pemerasan

Pegawai polis antara ditahan dipercayai terbabit aktiviti pemerasan
Mazlan (dua, kiri) berswafoto bersama orang ramai ketika Majlis Kepolisan Berprofil Tinggi di Pavilion malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis antara empat individu yang ditahan, dipercayai terlibat dalam pemerasan di Brickfields di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata siasatan awal mendapati, cara pemerasan yang digunakan dalam kes melibatkan pegawai yang ditahan itu, mirip kumpulan gangster.

"Cara mereka buat pemerasan ala-ala gangster dan kita sedang lihat gangster mana," katanya kepada pemberita selepas Program Kepolisan Berprofil Tinggi di pusat membeli belah Pavilion di sini, pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Roslan Bek Ahmad dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa.

BACA: Dua anggota polis disyaki lakukan peras ugut direman

Mazlan berkata pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan, kerana melakukan pemerasan.

"Tidak sepatutnya (pegawai polis) melakukan tindakan sedemikian kerana polis patutnya lindungi rakyat. Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang terlibat dan siasatan sedang dijalankan," katanya.

Difahamkan kesemua mereka meminta sejumlah wang bagi melindungi tapak pembinaan di Brickfields daripada sebarang gangguan.

-- BERNAMA