Barisan peguam Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh akan membuat permohonan mencabar keputusan reman lima hari yang ditetapkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Pulau Pinang di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada pagi Ahad.

Peguam Ramkarpal Singh dan R.S.N. Rayer memaklumkan mereka gagal membuat permohonan semakan semula di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Sabtu kerana mahkamah bercuti.

Malah usaha untuk menyerahkan dokumen tersebut kepada Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Hadhariah Syed Ismail juga gagal.

Ram Karpal berkata, pihaknya berharap Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar dapat mendengar permohonan mereka.

“Kami tiada pilihan selain ke Alor Setar. Kami akan pergi sebelum pukul 9 pagi dan berharap dapat bertemu pendaftar esok dan berjaya mendapatkan permohonan ini.

“Mahkamah Tinggi semua sama kerana hakim Mahkamah Alor Setar juga mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes dari sini dan sebaliknya,” kata RamKarpal Singh

Ramkarpal berkata permohonan semakan itu juga dibuat untuk pengurus dan pengarah kilang berkenaan.

Menurutnya, keputusan reman yang dibuat Timbalan Pendaftar Mahkamah, Ameera Mastura Khamis tidak teratur dan tidak sah kerana keputusan dibuat tanpa mendengar hujah peguam yang mewakili Boon Poh, pengarah dan pengurus kilang terbabit.

Booh Poh bersama pengarah dan pengurus kilang di Sungai Lembu ditahan reman lima hari mulai hari ini hingga 16 Ogos bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu kilang haram memproses serbuk kayu yang didakwa mencemar alam sekitar.

Boon Poh ditahan SPRM kira kira jam 3.35 petang Jumaat selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.

Pengarah syarikat berusia 70 tahun ditahan pada jam 6.05 petang sementara anak lelakinya berusia 37 pula pada jam 6.25 petang, masing-masing di Pejabat SPRM Pulau Pinang.

Dalam pada itu, SPRM turut merampas dokumen berkaitan di pejabat Boon Poh di Komtar dan melakukan pembongkaran di rumahnya di Sungai Puyu.

Penahanan Booh Poh dibuat selepas SPRM menyerbu Pejabat Jabatan Perlesenan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan kilang haram berkenaan pada Khamis.