Peguam mewakili lima tahanan yang kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) pada Isnin telah memfailkan permohonan 'Habeas Corpus' (Penahanan Salah) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Permohonan bagi kelima-lima tahanan yang juga terdiri daripada empat orang ahli DAP termasuk seorang individu awam dibuat menerusi peguam Ramkarpal Singh.

Ramkarpal yang mengetuai lima barisan peguam yakin kelima-lima anak guamnya tidak mempunyai kaitan dengan Kumpulan Pengganas Tamil Eelam atau dikenali sebagai LTTE.

"Berdasarkan keterangan mereka (tahanan) saya yakin mereka ini tidak terlibat dengan LTTE dan saya mohon mahkamah dapat bebaskan mereka daripada tahanan SOSMA.

"Ini adalah pendirian mereka dan mereka menafikan apa-apa penglibatan mereka dalam kumpulan LTTE dan perkara ini perlu dibuktikan pihak polis," katanya ketika sidang media di perkarangan lobi mahkamah.

Empat ahli DAP yang ditahan merupakan Gunasekaran Muniandy, Saminathan Ganesan, Chandru Suparmaniam, Suresh Kumar Velayuthan dan individu awam, Arivainthan Subramaniam.

Permohonan tersebut difailkan bertujuan untuk meminta pihak mahkamah untuk membawa tahanan tersebut ke mahkamah untuk mengenal pasti sama ada penahan itu sah atau sebaliknya.


BACA: Isu LTTE: Polis tidak harus diganggu - Anwar


Empat ahli DAP tersebut masing-masing ditahan dalam tarikh yang berasingan pada awal bulan ini.

Kesemua mereka ditahan selama 28 hari dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Setakat ini, seramai 12 individu termasuk empat ahli DAP tersebut ditahan kerana disyaki terbabit menyokong dan menyalurkan dana untuk LTTE.

Kumpulan LTTE disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.