Keputusan Sarawak menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan meneliti rujukan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) tidak akan menjejaskan perbincangan mengenai penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata sebaliknya jika pasukan tersebut memperoleh sebarang penemuan baharu mereka boleh membawa kepada Jawatankuasa Teknikal Peringkat Negeri (JTPN).

Katanya, JTPN pula akan membawa penemuan itu ke peringkat Jawatankuasa Pemandu bagi Penurunan Kuasa yang dipengerusikan oleh beliau bersama Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

"Pertama sekali saya ingin maklumkan rundingan dengan Putrajaya (kerajaan persekutuan) tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku di Sarawak (menghantar pasukan peguam ke London). Apa yang saya maksudkan tidak ada kena mengena itu ialah kerajaan negeri ada hak untuk 'menggali' sejarah Sarawak.

"Ini bukan sebagai mencampuri apa yang kami lakukan di sana. Kita perlu lihat dua perspektif berbeza yang berlaku di peringkat di Putrajaya dan di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitrinya di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini hari ini.

Hampir 10,000 orang masyarakat berbilang kaum hadir memeriahkan majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Nancy berkata perbincangan mengenai penurunan kuasa itu juga adalah proses berterusan antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

"Kalau ada pertambahan, biar kita bincang, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga seorang yang bersifat munasabah, beliau juga telah beberapa kali duduk bersama-sama untuk memahami keperluan Sarawak," katanya.

Sementara itu, Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan, dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang akan mengetuai pasukan peguam ke London berkata mereka ke sana dalam misi mencari fakta.

"Kami ingin mendapatkan beberapa fakta. Buat penyelidikan, kami mahukan 'faktual' tentang ini dan mahu melakukannya dengan sempurna," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Nancy di sini.

-- BERNAMA