Peguam keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, Syazlin Mansor melahirkan rasa syukur dan sebak selepas keputusan mahkamah bahawa punca kematian anggota bomba itu disebabkan jenayah.

BACA: Kematian Adib disebabkan jenayah lebih seorang individu tidak dikenali - Hakim Koroner

Beliau turut berpuas hati dengan keputusan yang diberikan.

“Ya, saya bersyukur ke hadrat Allah. Kita bersyukur dengan keputusan hari ini.

"Terima kasih kepada dua pakar, Prof Dr Shahrul dan Amir Radzi. Kedua-dua pakar ini sanggup memberikan keterangan yang benar di mahkamah dan secara pro bono,” katanya di luar Kompleks Mahkamah Shah Alam, di sini, pada Jumaat.


Syazlin turut melahirkan penghargaan kepada semua yang mendoakan kes berkenaan dan keadilan kepada Muhammad Adib.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia dan mendoakan agar keadilan dapat ditegakkan,” katanya lagi.

Pada 27 Mei lalu, Syazlin mengumumkan menarik diri daripada prosiding inkues kematian Muhammad Adib di hadapan Hakim Rofiah Mohamad, yang bersidang sebagai Koroner, ketika prosiding hari ke-37 di Mahkamah Koroner di Shah Alam.

Namun pada Jun, Syazlin bertekad untuk mewakili semula keluarga Muhammad Adib.