Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik memberi dua pilihan kepada Tan Sri Tommy Thomas sama ada mahu mematuhi dasar kerajaan, atau melepaskan jawatannya sebagai Peguam Negara.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata demikian susulan tindakan Tommy memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), pada Jumaat.

Jelas Maszlee, kegagalan Tommy mengambil kira dasar kerajaan bukan sahaja salah, malah ia jelas bertentangan dengan peranan Peguam Negara selaku Penasihat Undang-Undang utama kerajaan Persekutuan.

“Saya mengambil maklum terdapat peranan yang berbeza apabila Tan Sri Tommy Thomas menjalankan tugas sebagai pendakwa raya dan apabila beliau berperanan sebagai Peguam Negara iaitu Penasihat Undang-Undang.

“Namun, dalam menjalankan tugas sebagai pendakwa raya, Tommy tidak boleh sama sekali membelakangi dasar kerajaan,” demikian katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut kata Maszlee, kuasa untuk menyenaraikan sesuatu kumpulan sebagai kumpulan pengganas atau sebaliknya adalah terletak di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri.

“Selagi mana ia tidak diubah oleh Menteri Dalam Negeri, maka ia kekal sebagai keputusan kerajaan yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara melalui agensi serta badan kerajaan seperti PDRM.

“Keputusan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan ke atas 12 individu yang telah dituduh di mahkamah adalah disandarkan kepada keputusan kerajaan Australia dan Sri Lanka.

“Walau bagaimanapun, keselamatan negara adalah tanggungjawab kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri,” ujarnya.

Semalam, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 tertuduh yang sedang berdepan pendakwaan menyokong LTTE selepas mendapati tiada prospek jelas untuk mensabitkan dengan mana-mana daripada 34 pertuduhan dihadapi mereka.

Antara yang dituduh sebelum ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60, mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, kumpulan militan LTTE masih dikategorikan sebagai kumpulan pengganas dan kerajaan tidak berhasrat untuk mengugurkan kedudukan kumpulan itu.