Pejabat Ketua Menteri Sarawak hari ini mengeluarkan kenyataan bagi menafikan catatan dalam Facebook yang memetik ketua menteri sebagai berkata beliau telah membubarkan parti Barisan Nasional di Sarawak.

Menurut kenyataan itu, catatan Facebook di bawah akaun Borneo Voice menjadi viral akhir-akhir ini yang memetik ketua menteri kononnya berkata: "Saya tidak mempunyai pilihan melainkan untuk membubarkan parti Barisan Nasional di Sarawak dan selepas itu membentuk sebuah kerajaan negeri yang baharu".

"Catatan itu juga disebar dengan meluas dalam chatgroup. Pejabat ini ingin memperjelaskan bahawa ketua menteri tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu.

"Catatan ini adalah berita palsu rekaan orang tertentu atas sebab yang hanya mereka sendiri tahu," menurut kenyataan itu.

Kenyataan ringkas itu dikeluarkan di sini petang ini.

-- BERNAMA