Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menegaskan kebenaran penggajian pekerja asing dalam sektor perkhidmatan makanan hanya melibatkan tukang masak dan tenaga kerja pembersihan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya sedang menjalankan operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen dan agensi terlibat untuk menahan mana-mana pengusaha premis perkhidmatan makanan yang menyalahgunakan kebenaran berkenaan dengan menggajikan banyak pekerja asing.

"Sejak minggu lepas lagi kita sudah jalankan operasi ini dan kita akan tangkap mana-mana pengusaha yang menggaji pekerja asing sebagai pelayan kedai, juruwang dan sebagainya.

Dalam hal ini, tiada pengecualian kepada mana-mana pihak kerana kita tidak mahu apabila kadar baharu levi pekerja asing dinaikkan nanti akan menyebabkan pengusaha naikkan harga makanan dan bebankan pengguna pula," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman kerajaan untuk menaikkan kadar levi pekerja asing sebanyak dua kali ganda yang sepatutnya dilaksana pada 1 Feb lepas, yang dibimbangi boleh menyebabkan berlakunya kenaikan harga makanan.

Bagaimanapun semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penangguhan kenaikan kadar levi itu sehingga 20 Feb ini untuk berbincang dengan dewan perniagaan, persatuan industri dan badan bukan kerajaan terlibat berikutan mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.

Sebelum ini, kerajaan menyatakan kadar levi sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan akan dinaikkan kepada RM2,500 setiap pekerja manakala sektor perladangan dan pertanian pula bertambah kepada RM1,500 seorang.

Keputusan pengenalan kadar levi baharu itu dibuat seiring pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pengubahsuaian Bajet 2016 yang menyentuh mengenai penyusunan semula kadar levi pekerja asing ini pada 28 Jan lepas.

Mengambil contoh pengusaha restoran, Hamzah menyifatkan mereka mempunyai banyak langkah lain bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, antaranya dengan melaksanakan kaedah layan diri.

Terdahulu, Hamzah meninjau dan beramah mesra dengan penumpang KTM Komuter yang dalam perjalanan dari Stesen Shah Alam, dekat sini menuju ke KL Sentral.

Mengulas mengenai tinjauan itu, Hamzah berkata pihaknya akan berbincang dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhubung kaedah menambah baik perkhidmatan yang ditawarkan demi kepuasan pengguna sistem pengangkutan awam di negara ini.

Beliau berkata antara cadangan yang diterima sepanjang tinjauan itu termasuk meminta pihak terlibat menaik taraf sistem pembelian tiket dan penggunaan kad prabayar pengangkutan awam bagi mengelak pengguna terpaksa beratur panjang pada waktu tertentu.

"Kita terima cadangan serta komen yang diberikan pengguna termasuk langkah menambah baik kad prabayar tiket pengangkutan awam supaya ia boleh digunakan pada mana-mana jenis sistem dan tidak perlu beratur panjang membeli tiket.

Selain itu, ada juga pengguna yang meminta supaya tempoh 'lengah' KTM Komuter tidak terlalu lama sehingga boleh menjejaskan masa pengguna dan semua ini akan kita bincang untuk perbaiki mutu perkhidmatan," katanya.