Kekecohan di Plaza Low Yat tersebar di laman sosial seolah-olah berunsur perkauman sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai sedangkan hakikatnya ia bukanlah seperti yang disangkakan.

Kejadian di premis komputer riba dan telefon bimbit di gedung teknologi maklumat (IT) itu pada mulanya hanya kes curi telefon bimbit dan pekerja di situ telah menangkap orang yang disyaki pencurinya, tetapi dakwaan di media sosial mengakibatkan ia merebak menjadi isu besar.

Seorang daripada pekerja di situ yang hanya ingin dikenali sebagai Ila, 27, berkata jika berlaku sebarang kejadian kecurian, menjadi kebiasaan pekerja premis tanpa mengira kaum dan pengawal keselamatan akan sama-sama menahan suspek.

"Pada hari kejadian (Sabtu), pekerja premis berhampiran kedai terbabit hanya membantu untuk menahan suspek selepas pekerjanya menjerit berlaku kecurian.

Ketika itu tidak kira pekerja Melayu, Cina atau India memang membantu untuk menahan suspek.

"Tetapi apa yang tersebar di laman sosial sehingga dikaitkan dengan unsur perkauman apabila terdapat video seolah-olah lelaki Melayu dipukul sekumpulan lelaki Cina. Sewaktu kejadian susulan, pekerja Melayu sedang berbuka puasa dan hanya pekerja Cina sahaja yang ada sebab itu kelihatan seolah-olah pekerja Cina memukul beberapa remaja Melayu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Kecewa dengan pelbagai cerita yang tersebar di laman sosial, Ila berkata perkara itu ternyata mengeruhkan lagi keadaan sehingga menjejaskan operasi di plaza berkenaan.

"Orang di luar sana mungkin tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku tetapi memberi reaksi, komen dan menyebarkan cerita seolah-olah mereka ada di sini," katanya.

Beliau berkata berdasarkan prosedur operasi standard di situ, sekiranya pelanggan berasakan mereka terbeli barangan tiruan atau tertipu, mereka seharusnya membuat laporan kepada pihak pengurusan untuk tindakan susulan.

"Memang kalau ada pelanggan buat aduan terbeli barang tiruan, pihak pengurusan akan mengambil tindakan dan tidak akan membenarkan peniaga terbabit menjalankan operasi. Sebelum ini terdapat aduan bahawa premis menjual komputer riba tiruan dan premis itu telah diarahkan tutup serta-merta," katanya.

Meluahkan perasaan sama, seorang lagi pekerja di situ yang ingin dikenali sebagai Vincent, 24, berkata mereka memang saling membantu sekiranya berlaku kes kecurian.

"Kedai di sini berhampiran jadi mana-mana pekerja premis yang boleh menahan suspek apabila suspek melalui premis mereka, mereka akan tahan," katanya.

Bagi William, 30-an, pula kejadian itu membuatkan dia berasa bimbang untuk memakai baju rasmi pekerja Plaza Low Yat walaupun mengikut etika sekiranya pekerja tidak memakainya, mereka akan didenda RM200 sehari.

Sabtu lalu, berlaku insiden pergaduhan di Plaza Low Yat yang didakwa berpunca daripada perasaan tidak puas hati seorang lelaki yang dituduh mencuri sebuah telefon bimbit.

Pengawal keselamatan bertindak menyerahkan lelaki itu kepada polis, lanjutan daripada itu, rakan lelaki terbabit menghubungi rakan-rakannya lain lalu bertindak memukul pekerja di situ dan memecah barang-barang di dalam kedai terbabit yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM70,000.

Pada Ahad, dianggarkan beratus-ratus orang berkumpul di hadapan plaza itu sejak 8 malam, dipercayai rakan kepada lelaki yang ditahan polis itu sehingga berlakunya pergaduhan yang berlarutan ke awal pagi.

Sehingga kini polis menahan 25 individu yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian kekecohan yang berlaku di Plaza Low Yat itu.