Seorang pekerja kebun cedera di bahagian leher dipercayai terkena peluru sesat ketika sedang membersihkan kebun buah-buahan di belakang Taman Kinta Perdana dekat Batu Gajah di sini, bersama dua rakannya lewat Rabu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa Muhammad Safwan Abu Jaapan, 20 tahun, kini berada dalam keadaan stabil dan telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, untuk mengeluarkan serpihan, disyaki peluru penabur di leher mangsa.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada Pembantu Perubatan bahagian Wad kecemasan Hospital Batu Gajah bahawa mangsa disyaki terkena tembakan peluru sesat di leher kira-kira 5.45 petang.

Katanya, berdasarkan siasatan, rakan mangsa terdengar bunyi letupan sebelum menyedari mangsa yang berada berhampirannya rebah dan darah mengalir di leher.

"Kejadian disyaki akibat peluru sesat yang dilepaskan oleh pemburu haram yang sering memburu ayam hutan dan binatang lain di situ," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata kawasan kebun buah-buahan yang berpagar itu telah diteroka sejak 10 tahun lalu.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.

-- BERNAMA