Seorang lelaki warga Myanmar rentung manakala dua lagi cedera dalam kebakaran sebuah kilang pembuatan jeriji besi di Taman Teknologi Cheng, Melaka pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkifli Nordin berkata, mangsa maut bekerja sebagai jurukimpal berusia 38 tahun, manakala seorang lelaki warga tempatan, 28 tahun mengalami lecur 90 peratus di badan dan seorang wanita, 23 tahun hanya cedera ringan.

Beliau berkata, kejadian tercetus selepas berlaku letupan di kilang seluas 460 meter persegi ketika mangsa sedang menjalankan kerja kimpalan di ruang operasi kilang.

Difahamkan wanita warga Myanmar yang turut cedera dalam insiden berkenaan merupakan isteri kepada mangsa yang rentung.

Wanita itu dikatakan tinggal berhampiran kawasan kilang sebelum bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan berhubung kejadian itu.

Dia bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanan.

“Terdapat lima orang sedang bekerja ketika itu dan terdapat tiga orang mangsa. Maklumat daripada komander tiga orang mangsa dan terdapat seorang mangsa yang telah meninggal dunia dan disahkan oleh pihak KKM.

“Dua orang lagi mangsa cedera dimana seorang mangsa alelaki melayu cedera melecur hampir 90 peratus dan seorang mangsa lagi hanya cedera ringan.. Mangsa yang meninggal dunia kita kenal pasti warga Myanmar 38 tahun,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, punca sebenar berlaku kejadian ini masih dalam siasatan.

Terdahulu, Zulkifli berkata sepasukan 45 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Tangga Batu diikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 9.02 pagi tadi.