Seorang pekerja pusat hiburan mengalami kerugian RM11,450 selepas terpengaruh dengan tipu helah sindiket Macau Scam pada Khamis, yang mendakwa beliau kononnya mempunyai cukai syarikat tertunggak lebih RM138,600.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata lelaki berusia 28 tahun itu dalam laporan polisnya berkata kerugian itu berlaku setelah dia mendedahkan nama pengguna dan kata laluan akaun banknya kepada seorang wanita yang mengaku dari pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri yang menghubunginya, kononnya cuba membantu supaya beliau tidak diisytiharkan muflis.

Beliau berkata susulan perbualan telefon, pekerja pusat hiburan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lagi lelaki, kononnya sarjan polis, dan kemudiannya dirujuk kepada seorang lagi lelaki lain, kononnya pegawai Bank Negara Malaysia, sebelum dia ditipu supaya mendedahkan nombor akaun banknya, nama pengguna dan kata laluannya, selain menghantar kod pengesahan transaksi (TAC) yang diterimanya.

"Mangsa mulai curiga selepas menerima mesej dari pihak bank mengenai dua pengeluaran yang tidak pernah dibuatnya; dan apabila individu-individu yang kononnya cuba "menolongnya" itu tidak dapat dihubungi, barulah dia sedar ditipu, dan terus membuat laporan polis," katanya, sambil menambah kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA